Monday, September 27, 2010

Aku tidak sanggup berpisah dengan mereka di akhirat.




Hari tersebut aku telah dikongsikan dengan satu artikel dalam satu blog teman ku. Ku teliti sungguh sungguh ayat demi ayat dalam artikel tersebut. Ayat Quran ini sering ku dengar yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”. (At-Tahrim: 6)

Ya sering ku dengar ayat ini tetapi kali ini aku cuba mencari apa yang belum aku lakukan, apa yang belum aku buat perintah Allah SWT dari ayat ini. Tika itu aku terbayang wajah wajah ahli keluarga ku satu persatu, ibu yg telah pergi, ayah yang berada di alam barzah, ibu dan ayah mertua ku, adik beradik ku, sudah pasti isteri dan anak ku . Petikan artikel tersebut menjurus aku membayangkan kalau lah aku ditakdirkan berpisah dalam erti kata tidak dapat bersama dan melihat wajah mereka di dunia ini lagi, sudah pasti sesuatu yang aku tidak mahu dan tidak ingin ianya berlaku. Sebak hati ini memikirkan. Bayangkan itu sekadar perpisahan di dunia yang sementara dan cukup pendek tempuh masa nya.
Aku cuba membayangkan kalau lah perpisahan yang kekal abadi itu berlaku di akhirat sana. Rela kah? Sanggup kah? Pada tika itu tertanya dimana anak ku? dimana ibu ku? Dimana kakak ku? dimana adik ku? Atau ahli keluarga ku bertanya dimana AKU? Bayangkan pada tika tu perpisahan berlaku antara ahli keluarga. Ada yang berada di syurga dan ada yang berada di neraka. Moga dijauhkan dari azab neraka. Aku cuba merenung lebih jauh sudahkan aku menyempurnakan tanggungjawab ku menyampaikan apa yg sepatutnya aku sampaikan kepada mereka. Mengajak mereka melakukan kebaikan, menjauhkan mereka melakukan kemungkaran. Gentar hati  ini takut didakwa oleh yg dipimpin di akhirat nanti. Bimbang hati ini bila mereka tidak bersama sama beramal.

Ya kadang kadang kita berpesan dan beri ingatan kepada orang lain, tetapi lidah kita kelu dengan ahli keluarga kita, adik beradik kita tercicir dari menerima peringatan .... Ya Allah janganlah Engkau lalaikan kami untuk berdakwah dengan ahli keluarga kami. Ayuh kita renungkan siapakah kalangan ahli keluarga kita yang belum kita sampaikan dakwah ini.

JOM JADI INSAN YANG BERMANFAAT KEPADA KELUARGA KITA.

Friday, September 24, 2010

Kami ni nak jadi orang baik ..... tapi..


Masih aku teringat dalam satu program di Bandar Johor Bahru , seperti biasa aku menjadi pengendali program. Namun pada hari tersebut kami kekurangan fasilitator, jadi terpaksalah aku menjadi fasilitator bagi satu kumpulan pelajar.

Setelah berinteraksi selama 2 jam sebagai pengendali, rasanya cukup untuk aku selesa sebagai fasilitator kumpulan pelajar ini, sejumlah enam orang pelajar lelaki. Aku bersembang dengan memperkenalkan diri ku dengan lebih terperinci. Setelah mesra dan selesa, kami duduk dalam kumpulan dengan lebih rapat, lebih akrab…  sehingga aku mampu mengajukan sembang bertanya tentang solat mereka, siapa yang merokok, siapa yang tuang kelas, apakah dosa paling besar yg pernah dilakukan.  Lanjutan dari itu aku terus bersembang. 

Pak Lang:  Siapa dari kalangan kalian yang pernah berzina?
Pelajar  : Pernah; Pernah; Tidak;  Pernah;  Pernah; Tidak; …. (4 daripada 6 pernah berzina). (Dalam hati terasa sedih melihat wajah wajah ini, ada antara mereka wajah nya kelihatan begitu baik pekerti dan akhlak nya)
Pak Lang : Emak dan Ayah tahu tak apa yang korang dah buat ni
Pelajar : Tak; Tak; Tak;  Ayah saya dah tak ada Pak Lang, emak tak tahu; Tak; Tak
Pak Lang : Apa perasaan korang SEKARANG bila korang kenangkan dosa dosa kalian tu… ada apa apa yg korang nak share apa perasaan korang sekarang

Keenam enam ni bercerita seorang demi seorang dalam keadaan kami duduk semakin rapat…  seorang demi seorang menyuarakan kekesalan mereka. Air mata mereka mula menitis dan menitis dengan nada yang semakin sebak. Aku tertarik dengan kata kata seorang pelajar.  “Pak Lang, kami ni bukan tak mahu jadi orang baik. Kami ni nak juga jadi orang baik tapi tak de orang yang nak cakap dan nasihat kami macam pak Lang buat ni.”  Dengan nada perli dan marah terus dia menyebut “Yang selalu bercakap dengan kami hanya si gondong kat sekolah tu saja” (Si gondong yang dimaksudkan adalah guru disiplin di sekolah mereka)
Kami  duduk semakin rapat. Aku mengajak mereka saling memeluk bahu dalam bulatan, dengan memberi  pesanan pesanan. Aku terus menadah tangan berdoa di tengah bulatan pelukan kami dalam kumpulan, satu demi satu aku sebut nama mereka bahawa “ ya Allah, hamba mu mengaku segala dosa dan ingin bertaubat, nak kembali kepada mu.” Dapat aku rasakan tangan yang ku tadah untuk berdoa disirami air mata anak anak muda ini… dapat aku rasa vest yang ku pakai semakin basah. Hati semakin sebak. Habis berdoa aku minta mereka peluk sesama mereka dan beri kata semangat  antara mereka. Salah seorang yang ketiadaan ayah lantas memeluk aku … “Pak lang, pak lang jadi lah ayah saya, nasihat kan saya selalu”. Ya Allah ampunkan dosa ku seandainya aku tidak mampu memenuhi harapan anak muda ini.

Pengajaran
Mereka yang bergelumang dengan maksiat ni sebenarnya bukan tidak mahu kepada kebaikan. Mereka perlu didampingi, ditemui, dinasihati. Mereka pun nak kembali kepada fitrah jadi orang baik.
Berdakwahlah dengan penuh kasih sayang.
Keadaan masyarakat dan adakala nya di sekolah keadaan itu tidak membantu malah boleh menjauhkan mereka dari kebaikan.

Renungkan .... adakah kita telah menjadi insan bermanfaat kepada mereka yang dahagakan peringatan, nasihat dan dakwah dari kita.

Saturday, September 18, 2010

Bersihnya Hati Ketika Kecil


Seringkali aku melihat anak remaja yang seorang ni berada di masjid setiap kali waktu solat. Bisik hati “rajin sungguh dia datang ke masjid”.  Selalu aku berdamping dengan remaja ini. Lebih menjadi tanda tanya hanya dia yang kelihatan tapi jarang sekali aku melihat ayah nya bersama mengunjungi masjid ini.
Aku masih ingat satu perbualan yang cukup bermakna dengan remaja ini.

Aku:   Pak lang perhatikan Leman (bukan nama sebenar) memang rajin datang solat berjamaah kat masjid ni

Leman:   Alhamdulillah Pak lang

Aku:   Sejak bila sebenarnya Leman mula rajin ke masjid.

Leman:   Sejak sekolah rendah lagi,  ya mula dari darjah empat lagi.

Aku:   Boleh Pak Lang tahu macam mana Leman boleh minat sangat nak pergi masjid masa tu. Macam mana boleh mula minat tu.

Leman:   Masa peringkat awal pergi masjid, ada orang Tabligh cerita kat saya banyak nya pahala solat kat masjid. Selepas dengar nasihat tu saya memang suka ke masjid.

Aku:  Habis ayah tak beri galakan ke.

Leman :  Malu nak cakap lah Pak Lang. Ayah saya tak jaga solat. Nak puasa pun susah.

Aku: …. Tergamam mendengar nya…. Dalam kepala ku berlegar beruntung nya sahabat tabligh yang menjadi ORANG PERTAMA memberitahu kat Leman besar pahala solat kat masjid. Sampai umur 22 tahun Leman masih terus ke masjid dan terlibat pula dalam kerja dakwah. Ruginya tak menjadi orang PERTAMA menyampaikan nasihat yang biasa kita sebut dan dengar tu. Tak perlu ilmu yang tinggi menggunung.

Pengajarannya:
1.       Tu lah korang. Kita ni kadang kadang tak pandang pun bebudak yang dok lari lari kat masjid. Marah pulak lagi. Macam lah si celik tu tak dak potensi.  Jadi berdakwahlah dengan kanak kanak. Hati masih bersih.
2.       Iman tidak boleh diwarisi, hidayah dari Allah …. Jgn ingat mak ayah tak ok, anak pun tak ok. Walaupun tiada galakan mak ayah, gerak hati anak kecil ini untuk ke masjid melorongkan dirinya mendapat hidayah.
3.       Nak berdakwah tak perlu ilmu yang tinggi menggunung. Yang biasa biasa kita dengar pun boleh jadi satu mesej yang cukup best bagi sesaorang. Sampaikanlah walaupun satu ayat.
4.       Kita race jadi ORANG YANG BERMANFAAT … Jadi orang PERTAMA yang mampu mencetus amalan berganda

Kini ayah Leman telah tiada di dunia ini. Moga doa Leman sebagai anak soleh akan dapat membantu ayah nya di alam sana.


Monday, September 6, 2010

AMAL APA IBARAT ABU YANG DITERBANGKAN


Kadang kadang kita cuba bayangkan bagaimana amal yang tidak berguna, bagaimana amal perbuatan mereka yang ingkar pada Allah SWT. Bayangkan abu yang ditiup angin keras pada suatu hari yang angin nya cukup kencang. Cuba bayangkan bagaimana bertaburan nya abu itu. Begitulah gambaran yang Allah SWT berikan kepada perbuatan ingkar manusia kepada Nya.

Amal sia sia ibarat abu yg diterbangkan angin kencang
"Perumpamaan orang yang ingkar kepada Tuhannya, perbuatan mereka seperti abu yang ditiup oleh angin keras pada suatu hari yang berangin kencang. Mereka tidak kuasa (mendatangkan manfaat) sama sekali dari apa yang telah mereka usahakan (di dunia). Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh." (Ibrahim - 18)

Kerap kali bila disebut perbuatan ingkar kita membayangkan perbuatan ingkar yang begitu extreme sekali. Tidakkah patut kita lihat bagaimana amal baik yang kita buat tetapi tidak kita lakukan dengan sempurna juga boleh tergolong dalam kategori amal yang sia sia. Bayangkan solat yang tidak kita lakukan dengan khusyu. Bayangkan sia sia nya solat pada saat kita tidak khusyu itu. Bayangkan amal yang tidak kita lakukan dengan penuh keikhlasan kerana Allah. Awas lah agar kita tidak mencipta amal yang tidak bermanfaat dalam hidup kita.

KISAH POHON YANG BERMANFAAT

Adakah kita telah memberi manfaat kepada orang lain. Renungkan diri kita, kehadiran kita dalam masyarakat. Adakah kehadiran kita dirasai, atau samada kita ada atau tidak ada, tidak membawa apa apa perbezaan. Sebagai contoh kalau kita lama sudah tidak pergi solat berjamaah di surau akan ramai rakan yang bertanya dimana kita, apa khabar kita, sihat kah kita… atau tidak ada sesiapa yg sedar ketidakhadiran kita lantas tiada siapa yg bertanya.
Renungkan kisah sebuah pohon atau pokok yang diumpamakan di dalam Al Quran (Ibrahim : 24 – 25)

Tidak kah kamu memperhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya (menjulang) ke langit, (pohon) itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan seizinnya Tuhannya. Dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat.”

Ayat ini menggambarkan bagaimana manfaat satu kalimah yang baik seperti kalimah tauhid akan memberi kesan yang cukup baik dan besar kepada manusia. Ibarat sebuah pokok yang baik sudah pasti memiliki akar yg kuat dan cabang serta ranting yang menjulang, menghasilkan manfaat buah yang baik rasanya pada setiap waktu. Sudah pasti pokok yang memiliki akar yang baik ini akan hanya hidup subur serta kuat akarnya bilamana ia tumbuh  di atas tanah yang subur, yang sentiasa dibajai, disirami dengan air, dijaga dengan rapi. Begitulah kita sebagai manusia kita perlu memberi  manfaat kepada orang lain, menyumbanglah tenaga, berilah sesuatu dalam masyarakat kita,  berperanan lah. Sudah pasti untuk kita berperanan kita harus memiliki kemampuan untuk menyumbang, kita perlu mendidik diri kita, mentarbiah diri kita, meningkatkan ilmu dan kemahiran kita agar kita mampu menyumbang. 

Jadi lah insan yg bermanfaat dan perlengkapkan diri kita untuk bermanfaat kepada orang lain.

Sunday, September 5, 2010

BICARA MULA

Blog ini telah dibangunkan pada 5 September 2010. Moga dapat memberi manfaat pada diri. Moga dapat memberi perkongsian di blog ini. Di pagi 26 Ramadan ini diharapkan blog ini merupakan satu usaha yang perlu untuk diri dalam memenuhi tujuan hidup sebenar di atas muka bumi ini.
Jadilah orang yang bermanfaat kepada semua. Teramat rugi dan sia sia lah hidup ini kalau tidak mampu bermanfaat untuk yang lain. Apatah lagi kehidupan ini perlu di hidupkan dengan pengukuhan hablum minallah dan hablum minannas.

Ukhuwah Teras Kegemilangan